Hudud Islam

mendidik, mencegah, menghukum, dan memulihkan akhlak manusia

Category Archives: 6. FAQ

Cara sebat dalam Islam vs Cara Sivil, yang mana pilihan anda?

sebat 1sebat 2

Kaedah hukum sebat mengikut syarak oleh Setiausaha Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM).

SEBAT adalah satu bentuk hukuman dalam perundangan Islam yang bertujuan memberi pengajaran kepada penerima hukuman dan orang yang melihatnya. Hukuman sebat juga berupaya menghindar dan membersihkan masyarakat daripada perbuatan dan tabiat keji dan hina.

Merujuk kepada rencana bertajuk “Kaedah hukuman sebat di Mahkamah Syariah” oleh Datuk Muhammad Asri Abdullah di dalam Jurnal Hukum JLD. XXII BHG. 1 ( 1427 H) September 2006), pelaksanaan hukuman sebat di Malaysia diperuntukkan dalam semua enakmen undang-undang tatacara jenayah syariah bagi kebanyakan negeri.

Peruntukan-peruntukan tersebut antaranya ialah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 125; Enakmen Acara Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996, Seksyen 125 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, Seksyen 125.

Selain itu, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Kelantan) 2002, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah (Negeri Pahang) 2002, Seksyen 125 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Perak) 2004, Seksyen 125.

Di bawah Seksyen 125 dan 126 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), diperuntukkan kaedah dan masa pelaksanaan hukuman sebat seperti berikut:

Seksyen 125 – Hukuman sebat

1. Peruntukan seksyen ini dan seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.

2. Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

3. Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat iaitu:

a) Sebelum dilaksanakan, pesalah mesti diperiksa oleh seorang pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman itu.

b) Jika pesalah sedang hamil, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas melahirkan atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan.

c) Hukuman hendaklah dilaksanakan di depan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan.

d) Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman hendaklah “adil dan matang”.

e) Orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

f) Selepas satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.

g) Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.

h) Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.

i) Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dibuat dalam keadaan dia berdiri dan bagi perempuan, dalam keadaan duduk.

j) Jika semasa pelaksanaan hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, ia hendaklah ditangguhkan sehingga diperakui semula tubuhnya sihat.

4. Dalam hal pesalah dihukum sebat sahaja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman itu dilaksanakan.

5. Jika pegawai perubatan memperakui bahawa pesalah itu – oleh sebab umur tua (lebih 50 tahun), keuzuran atau apa-apa sebab lain – tidak dapat menjalani hukuman pada keseluruhannya atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujuk kepada mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman itu dilaksana mengikut cara yang difikirkan munasabah.

Seksyen 126 – Masa melaksana hukuman

Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada penjara, hukuman sebat itu tidak boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

Sebatan itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan.

Kaedah pelaksanaan yang diperuntukkan sebenarnya tidak bertentangan dengan hukum syarak yang turut memberi panduan cara pelaksanaannya.

Jika menggunakan rotan atau ranting kayu, ia hendaklah dalam bentuk sederhana ukurannya. Tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua, tidak berbuku-buku atau pecah-pecah atau seumpamanya.

Ia amat penting supaya ia tidak boleh mencedera atau menyebabkan luka parah ke atas pesalah.

Ini kerana hukuman tersebut bukan bertujuan mencederakan pesalah tetapi mencegah dan melarang serta memberi pengajaran kepadanya. Ia selaras dengan hadis riwayat Malik dari Zaid bin Aslam. “Seorang lelaki mengaku berzina di zaman Rasulullah SAW. Baginda meminta sebatang tongkat untuk menyebat lelaki itu. Apabila tongkat diberi kepadanya, Baginda mendapati ia telah pecah-pecah, lalu Baginda meminta tongkat lain.

Apabila yang kedua dibawa kepadanya, tongkat itu dibuat daripada dahan kayu yang baru dipotong. Rasulullah menolaknya lagi dan meminta tongkat lain. Akhirnya diberi kepada Baginda tongkat sederhana yang tidak keras, Rasulullah menerimanya dan memerintahkan supaya disebat tongkat itu.

Ketika melaksanakan hukuman sebat, cara sebatan hendaklah secara sederhana. Si pelaksana tidak boleh mengangkat tangan hingga ke paras kepalanya atau dengan lain perkataan, tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga sampai kepada matlamat dan tujuannya.

Saidina Umar al-Khattab r.a pernah menghukum sebat seorang pesalah di zamannya. Beliau berkata kepada tukang sebat: “Sebatlah dia dan jangan diangkat tanganmu sehingga ternampak ketiak.”

Ketika Umar melihat pukulan agak kuat daripada sepatutnya, beliau berkata: “Kamu tidak menghukum tetapi membunuhnya.”

Mengenai bahagian yang disebat, Imam Syafie berpendapat, pukulan hendaklah ditujukan kepada pelbagai anggota tetapi hendaklah menjauhi faraj, rusuk dan semua anggota yang ditakuti membahayakan orang yang disebat.

Ia berdasarkan riwayat Umar al-Khattab bahawa beliau menemui seorang jariah yang sedang dilakukan hadd ke atasnya, lalu beliau berkata maksudnya: “Kamu pergilah kepadanya, pukullah dan janganlah sampai mengoyakkan kulitnya.”

Ini kerana maksud daripada hukuman sebat itu adalah mencegah tanpa bertujuan membunuh pesalah.

Ketika disebab, pesalah mesti memakai pakaian menutup aurat. Jika memakai pakaian tebal, hendaklah diganti dengan yang sederhana kerana dibimbangi pukulan tidak dirasai oleh pesalah. Ini berdasarkan riwayat ‘Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Rasulullah bersabda: “Tidak ada pada umat ini, perebahan, pembogelan, pembelengguan dan pengikatan.”

Bagi pesalah hamil, hukuman mesti dilakukan dua bulan selepas melahirkan. Jika dia masih sakit, pelaksanaan mesti ditangguhkan sehingga betul-betul sihat.

Jika penyakitnya tiada harapan sembuh, hukuman hendaklah dijalankan serta-merta dengan syarat, rotan tidak akan mencederakannya.

Diriwayatkan Rasulullah pernah menyuruh supaya dijalankan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang sedang tenat dengan hanya satu pukulan menggunakan seratus mayang tamar yang diikat. Lelaki itu telah berzina dan sepatutnya disebat 100 kali.

Hukuman sebat juga hendaklah dilaksanakan pada masa dan keadaan yang sesuai iaitu tidak dalam cuaca yang sangat panas atau sejuk kerana boleh membawa kemudaratan.

Pelaksanaannya pula hendaklah di depan sekumpulan orang mukmin. Seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 2: “Dan hendaklah pelaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”

Sementara itu, kertas kerja bertajuk “Peranan institusi penjara dalam pelaksanaan hukuman sebat bagi kes jenayah syariah: satu pandangan” oleh Masran Muhamad pula membezakan hukuman sebat antara pesalah jenayah dan syariah.

1. Saiz Rotan

Bagi pesalah jenayah panjang rotan tidak dinyatakan tetapi bergaris pusat 1.25 sentimeter. Sementara pesalah jenayah syariah pula ialah panjang 1.22 meter dan bergaris pusat 1.25 sentimeter.

2. Pemeriksaan Kesihatan

Bagi pesalah jenayah, pemeriksaan kesihatan dilakukan oleh mana-mana pegawai perubatan, manakala jenayah syariah oleh pegawai perubatan beragama Islam.

3. Pelaksanaan Hukuman

Bagi pesalah jenayah, sebat dilaksanakan oleh mana-mana pegawai sebat rotan yang dilantik oleh Komisioner Jeneral Penjara, manakala jenayah syariah hanya dilakukan oleh Pegawai Sebat Rotan beragama Islam.

4. Bahagian Anggota yang Disebat

Bagi pesalah jenayah, pukulan sebat hendaklah di bahagian punggung dan ia berbeza dengan jenayah syariah yang meletakkan beberapa pengecualian.

5. Cara Sebatan

Bagi jenayah syariah, tukang sebat tidak boleh mengangkat rotan sehingga ke paras kepala dan pukulan secara sederhana agar tidak melukakan kulit.

6. Kedudukan dan pakaian semasa disebat

Bagi pesalah jenayah, mereka tidak memakai pakaian dan hanya ditutup di bahagian sulit sahaja dan diikat di tripod manakala pesalah syariah lelaki disebat dalam keadaan berdiri dan perempuan duduk dan memakai pakaian menutup aurat.

7. Baki hukuman sebat yang dihentikan

Bagi pesalah jenayah, jika sebahagian atau keseluruhan hukuman sebat tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab kesihatan, maka ia akan dirujuk kepada mahkamah manakala jenayah syariah ia boleh ditangguhkan sehingga pegawai perubatan memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.

8. Orang yang boleh disebat

Bagi pesalah jenayah, perempuan tidak boleh disebat tetapi pesalah jenayah syariah, perempuan tidak dikecualikan.

9. Saksi-saksi

Bagi pesalah jenayah, tiada saksi diperlukan semasa hukuman dilaksanakan tetapi pesalah syariah mesti bersaksikan sekurang-kurangnya empat lelaki Islam.

Maka, hukuman sebat adalah sebagai satu bentuk hukuman dalam Islam yang bertujuan menjaga kebaikan dan kepentingan umum. Islam sentiasa memandang dan mementingkan kebaikan orang ramai lebih utama daripada individu kerana ia boleh menghindari kerosakan, keruntuhan moral dan memberi rasa keinsafan kepada pesalah.

Pelaksanaannya bukanlah bertujuan menzalimi pesalah sebaliknya memberi rasa keinsafan dan pengajaran.

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/agama/4498-kaedah-hukuman-sebat-ikut-syarak.html

Minum arak adalah satu kesalahan jenayah dalam Islam, boleh hudud sebat?

mabuk arak

PENGERTIAN ARAK

Arak ialah minuman yang memabukkan. Dalam bahasa Arab dinamakan khamar, berasal dari kata khamara ertinya menutupi. Seseorang yang minum arak atau khamar, biasanya ia mabuk, hilang akal fikirannya tertutup jalan kebenaran, dan ia lupakan dirinya dan lupakan Allah.

Minum arak hukumnya adalah haram, sama ada sedikit atau banyak, hukum mabuk atau pun tidak, kecuali ketika darurat, dan arak itu adalah najis ainnya. Firman Allah yang bermaksud :

”Wahai orang-orang yang beriman bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (najis / keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.

(Surah Al- Maidah ayat 90)

HUKUM ORANG YANG MINUM ARAK

Dalam Qanun jenayah syar’iyyah, seseorang yang telah sabit kesalahan minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atai tidak, wajib dikenakan hukuman sebat tidak lebih dari 80 kali sebat dan tidak tidak kurang dari 40 kali sebat. Hukuman ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib r.a yang bermaksud:

”Rasulullah s.a.w telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat, dan Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak 40 kali sebat juga, dan Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebat. Semuanya adalah sunnah Rasulaullah s.a.w. dan inilah yang paling akau suka”. KESABITAN KESALAHAN MINUM ARAK(KHAMAR)

Untuk mensabitkan kesalahan seseorang minum arak (khamar) adalah tertakluk dibawah tiga sebab:

i) Minuman yang diminum itu ialah khamar, iaitu minuman yang memabukkan dan yang menghilangkan akal fikiran manusia ii) Orang yang meminum minuman itu mengetahui bahawa minuman yang diminum tadi memabukkan dan menutup akal fikiran. iii) Sengaja melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan.

Seseorang yang meminum minuman yang boleh memabukkan, dan ia tidak tahu bahawa dengan meminum minuman itu ia akan menjadi mabuk tidak boleh dikenakan hukuman had keatas orang yang meminum minuman itu, sekalipun dengan sebab meminum tadi ia menjadi mabuk.

PEMINUM ARAK YANG BOLEH DIKENAKAN HUKUM HADD

Orang yang melakukan kesalahan minum arak (khamar) yang wajib dikenakan hukuman hadd adalah tertakluk dibawah syarat-syarat berikut:

i) Baligh ii) Berakal iii) Kemahuan sendiri tanpa dipaksa oleh sesiapa iv) Minuman itu masuk kedalam rongga melalui mulut

Kanak – kanak yang belum baligh atau orang yang gila yang minum arak (khamar) tidak boleh dikenakan hukuman hadd ke atas mereka, kerana perbuatan mereka itu tidak boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah syar’iyyah yang boleh dikenakan hukuman hadd. Ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-

”Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia, iaitu kanak-kanak sehingga ia baligh, orang yang tidur sehingga ia bangun dari tidurnya, dan orang yang gila sehingga ia sembuh dari gila’.

(Riwayat Bukhari dalam Sahih)

BUKTI-BUKTI YANG MENSABITKAN KESALAHAN MINUM ARAK (KHAMAR)

Bukti – bukti yang mensabitkan kesalahan seseorang itu minum arak (khamar) yang boleh dikenakan hukuman hadd adalah sebagaimana berikut:-

1) Syahadah (kesaksian) 2) Ikrar (pengakuan)

Kesalahan minum arak (khamar) boleh dibuktikan dengan keterangan lisan yang diberi oleh dua orang saksi atau dengan ikrar (pengakuan) yang dibuat oleh oarang yang dituduh itu dengan kerelaan dirinya sendiri tanpa paksaan dari mana-mana pihak.

Saksi-saksi dari pihak pendakwa atau penuduh mestilah terdiri dari dua orang lelaki yang mempunyai syarat-syarat yang cukup. Jika saksi-saksi itu semuanya terdiri dari orang-orang perempuan atau seorang lelaki berserta dengan beberapa orang perempuan, maka kesaksian mereka itu tidak boleh diterima dan tidak boleh disabitkan kesalahan orang yang dituduh tadi, kerana kesaksian mereka itu boleh mendatangkan keraguan.

Adakah hudud itu lebih baik dari hukuman yang sudah sedia dalam Malaysia?

imageBukankah kita sudah ada undang-undang dan hukuman untuk menghalang atau membendung jenayah dan kejahatan manusia? Buat apa kita perlukan hudud lagi?

Di Malaysia sudah ada hukuman ke atas penjenayah dan orang-orang jahat, tetapi hingga hari ini, hukuman ini GAGAL membendung kadar jenayah dalam negara kerana hukuman itu tidak memahami dan tidak menepati  fitrah kejadian manusia. Sebab itu:

  1. kadar jenayah bunuh semakin tinggi, setiap hari ada dua kes bunuh,  mengikut laporan akhbar setiap hari
  2. kadar wanita kena rogol, minima 6 orang sehari mengikut laporan PDRM
  3. kadar kelahiran anak luar nikah, setiap 17 minit satu setiap hari, mengikut Kementerian Kesihatan dalam tempih 3 tahun
  4. kadar kes ragut, minima 3 kes setiap hari, mengikut laporan akhbar setiap hari
  5. kadar zina, premarital dan extra-marital affair serta pelacuran, setiap jam setiap hari
  6. kadar kes curi, minima 1 kes kecurian,  mengikut laporan akhbar setiap hari
  7. kadar kes rompakan, minima 1 kes kecurian,  mengikut laporan akhbar setiap hari

Ini semua adalah kes jenayah berat! Kes ini GAGAL dibendung oleh undang-undang dan hukuman yang dibuat dalam negara.

Dengan itu, rakyat perlu meneliti  undang-undang dan hukuman yang lebih sesuai dan tepat sebagai alternatif. Oleh kerana Tuhan jadikan manusia, maka Tuhan lebih tahu hukuman apa yang sesuai dan tepat untuk bendung kejahatan manusia, iaitu peraturan hudud! Hudud adalah fitrah, semulajadi sepertimana fitrah manusia.

Oleh kerana Tuhan jadikan manusia, mesti Tuhan bagi manual untuk manusia uruskan masalah manusia. Manual yang Tuhan berikan ada dalam kitab suci seperti Al Quran untuk orang Islam.

Ini sama dengan perumpamaan pembuat kereta BMW sudah pasti membekalkan manual kepada pengguna dan mekanik untuk selanggara kereta BMW dan tangani masalah BMW. Pengguna BMW tidak boleh gunakan manual Proton Saga untuk tangani masalah BMW!

Berapa tahun lagi UMNO, MCA, DAP, PKR perlu untuk faham tentang hudud?

Mana lebih kejam: perogol atau hukum hudud?

rogol

PEREMPUAN YANG DI ROGOL DAN DI PERKOSA

Perempuan-perempuan yang dirogol atau diperkosa oleh lelaki yang melakukan perzinaan dan telah disabit dengan bukti –bukti yang diperlukan oleh syarak dan tidak menimbulkan sebarang keraguan dipihak hakim bahawa perempuan itu dirogol dan diperkosa, maka dalam kes ini perempuan itu tidak boleh dijatuhkan dan dikenakan hukuman hudud,dan ia tidak berdosa dengan sebab perzinaan itu.

Lelaki yang merogol atau memperkosa perempuan melakukan perzinaan dan telah sabit kesalahannya dengan bukti – bukti dan keterangan yang dikehendaki oleh syarak tanpa sebarang keraguan dipihak hakim, maka hakim hendaklah menjatuhkan hukuman hudud keatas lelaki yang merogol perempuan itu, iaitu wajib dijatuhkan dan dikenakan ke atas lelaki itu hukuman rejam dan sebat

Perempuan-perempuan yang telah disabitkan oleh hakim bahawa ia adalah dirogol dan diperkosa oleh lelaki melakukan perzinaan, maka hakim hendaklah membebaskan perempuan itu dari hukuman hudud (tidak boleh direjam dan disebat) dan Allah mengampunkan dosa perempuan itu di atas perzinaan secara paksa itu.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Melaka

Tidak semua pencuri akan kena hudud potong tangan?

pencuri hudud

PENCURI

Pencuri ialah mengambil harta orang lain dengan cara bersembunyi dan diambil daripada tempat pertaruhan (tempat yang layak untuk menyimpan harta itu). Mencuri itu adalah salah satu daripada dosa-dosa besar dan mewajibkan potong tangan ke atas si pencuri itu.
Sebagaimana dengan firman Allah yang bermaksud:

”Pencuri lelaki dan pencuri perempuan hendaklah kamu potong tangannya sebagai balasan pekerjaan, dari siksaan daripada Allah, Allah maha perkasa lagi maha bijaksana”

(Surah Al- Maidah ayat 38)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

”Tidak dipotong tangan seseorang pencuri itu kecuali seperempat dinar atau lebih daripada nilai wang mas”

(Riwayat Bukhari Muslim)

CIRI –CIRI PERBUATAN MENCURI

1. Memindahkan secara bersembunyi harta alih dari jangkaan atau milikan tuannya.
2. Pemindahan harta itu tanpa persetujuan tuannya.
3. Pemindahan harta itu dengan niat untuk menghilangkan harta tadi dari jangkaan atau milik tuannya.

HUKUMAN HUDUD YANG WAJIB DIKENAKAN KEATAS PENCURI

1) Mengikut peruntukkan hukum syarak yang dikuatkuasakan dalam Qanun jenayah syar’iyyah, orang yang boleh didakwa dibawah kesalahan kes sariqah (mencuri) dan wajib dikenakan hukuman hudud ialah:-

i) Orang yang berakal
ii) Orang yang baligh
iii) Dengan kemahuan sendiri

2) Pencuri yang gila atau kanak-kanak atau orang yang kurang akalnya (tidak siuman) tidak wajib dikenakan hukuman hudud, sekalipun mereka itu mengambil harta atau barangan orang itu secara bersembunyi dengan tujuan untuk memiliki harta atau barangan itu. Sebagaiman Hadirh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-

”Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia iaitu orang yang tidur hingga ia bangun dari tidurnya, kanak-kanak hingga ia baligh dan orang gila hingga ia berakal (siuman)”

(Riwayat Ahmad, Ashabi, Sunan dan Hakam)

3) Orang yang dipaksa mencuri dengan cara kekerasan, misalnya orang yang diancam dan diugut akan dibunuh jika tidak mahu mencuri. Sebagaimana hujjah Hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

”Sesungguhnya Allah menghapuskan dosa umatku yang tersalah, terlupa dan dosa mereka yang dipaksa melakukan sesuatu kesalahan”.

(Riwayat Ibnu Majah dan Baihaq’i dan Lain daripada keduanya)


4) Orang yang terpaksa mencuri disebabkan tersangat lapar (kebuluran) atau terlalu dahaga yang boleh membawa kepada maut tidak boleh juga dikenakan hukuman hudud, kerana mereka yang dalam keadaan tersebut adalah termasuk dalam darurat yang diharuskan oleh syarak melakukan perkara yang dilarang. Kes ini adalah merujuk kepada Kaedah Fiqhiyyah yang bermaksud :

” Darurat (dalam keadaan yang memaksa) diharuskan melakukan perkara yang dilarang”.

(Al- Ashbah dan An – Nazha’ir)

Dalam perkara (3) dan (4) mereka itu terlepas dari hukuman hudud, tetapi hakim boleh mengenakan hukuman takzir keatas pencuri itu mengikut kea’rifan dan kebijaksanaannya.

PENCURI YANG TIDAK BOLEH DIKENAKAN HUKUMAN KESALAHAN SARIQAH

Pencuri yang tidak boleh dikenakan hukuman kesalahan sariqah ialah :-

1) Pencurian yang dilakukan secara khianat, iaitu orang yang mengambil harta atau barangan yang diamanahkan kepadanya. Mereka yang melakukan kesalahan tersebut tidak boleh didakwa dibawah kes sariqah (mencuri) dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud, tetapi mereka itu hendaklah didakwa di bawah kes kesalahan pecah amanah yang wajib dikenakan hukuman takzir.

2) Orang yang mengambil harta atau barangan orang lain dengan cara paksaan dan kekerasan.

3) Orang yang menyambar barangan orang lain sambil lalu, iaitu semasa berjalan atau atas kenderaan,termasuk juga penyelok saku.

4) Pencurian berlaku dimedan peperangan.

5) Mengambil buah yang tergantung di atas dahannya kerana tersangat lapar dan dahaga.

SABIT KESALAHAN MENCURI

1. Kesalahan mencuri boleh disabitkan dengan adanya salah satu dari bukti-bukti berikut:-

i) Ikrar (pengakuan)
ii) Keterangan dua orang saksi lelaki yang adil
iii) Sumpah yang mardud iaitu sumpah pencuri itu dikembalikan kepada orang yang mendakwa, jika orang yang didakwa tadi tidak mengaku, dimana mengikut keterangan orang yang mendakwa bahawa orang yang didakwa itu memang sebenarnya adalah mencuri.

2. Pencuri yang mengaku melakukan kesalahan mencuri memadai membuat pengakuan hanya sekali pengakuan sahaja dan pengakuan itu dibuat dimajlis dalam Mahkamah dihadapan hakim.

3. Untuk mempastikan kebenaran keterangan saksi-saksi bagi mensabitkan kesalahan seseorang itu mencuri, hakim hendaklah menyoal siasat saksi-saksi itu mengenai harta atau barangan yang dicuri, cara kecurian, tempat kecurian, masa kecurian dan lain-lainnya.

4. Hakim hendaklah juga menanyakan kepada saksi-saksi itu hubungan antara orang yang kena curi dangan orang yang mencuri.

PENCURI YANG DIKECUALIKAN DARII HUKUMAN HUDUD.

1) Jumlah nilai harta atau barangan yang dicuri itu kurang daripada satu perempat dinar atau tiga darham.

2) Untuk mensabitkan kesalahan mencuri itu tidak dapat dibuktikan mengikut yang dikehendaki.

3) Pencuri itu bukan orang yang mukallaf.

4) Tuan punya harta atau barang yang dicuri itu tidak menyimpan dan menjaga harta atau barangannya ditempat yang selamat daripada kena curi.

5) Pencuri itu belum lagi mendapat milik yang sepenuhnya keatas harta yang dicuri itu.

6) Harta atau barang yang dicuri itu bukan dari barangan yang berharga dan bernilai.

7) Harta atau barangan yang dicuri itu tidak memberi apa-apa faedah dan tidak bernilai mengikut hukum syarak seperti alat hiburan atau minuman yang memabukkan.

8) Pencurian yang dilakukan oleh orang yang memberi hutang ke atas harta atau barangan orang yang berhutang.

9) Pencurian yang berlaku itu dalam kedaan yang mendesak seperti didalam peperangan, dimasa sangat lapar dan dahaga.

10) Pencurian yang dilakukan oleh anak keatas harta atau barangan kepunyaan ibu bapanya hingga ke atas (datuk dan seterusnya).

11) Pencurian yang dilakukan oleh suami keatas harta atau barangan kepunyaan isterinya dan sebaliknya.

12) Pencuri itu mencuri harta atau barangan kepunyaan Baitul Mal.

HUKUMAN KERANA KESALAHAN MENCURI

Sesiapa yang melakukan kesalahan mencuri wajib dikenakan hukuman hudud sebagaimana yang dikehendaki oleh hukum syarak.

1) Mencuri kali pertama hendaklah dipotong tangan kanannya.
2) Mencuri kali yang kedua hendaklah dipotong kaki kirinya dan,
3) Mencuri kali ketiga dan berikutnya hendaklah dikenakan hukuman takzir dan dan dipenjarakan sehingga ia terbunuh.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Melaka

Perbahasan hudud – penjelasan ke atas kekeliruan Bhg 1

Falsafah dan Realiti oleh Dr. Mohd Rosdi Ismail

Perbahasan Hudud – penjelasan ke atas kekeliruan Bhg 2

Apa itu hukum hudud?

283915_131362897007722_1137635074_n

Kenapa orag bukan Islam dan UMNO takut dengan hukum Islam? Adakah Islam ini zalim?

229011_390096047723268_58010098_n 422179_390645167668356_1598513350_n