Hudud Islam

mendidik, mencegah, menghukum, dan memulihkan akhlak manusia

Category Archives: 1. Konsep Hudud

Hudud sebagai “deterrence” dan “alarming tool” hanya ditakuti oleh penjenayah dan pembuat maksiat

hudud-islam

Fungsi HUDUD ialah MENCEGAH, “to deter”, “to prevent”

slide8

Filem pendek…hudud

Bukan semua pencuri akan dikenakan hukum hudud?

Menolak dan menghina hudud boleh rosak aqidah dan murtad – Kitab Mustika Hadis Jabatan Pedana Menteri

mustika hadis hudud

 

 

MURTAD Mengikut Pandangan Ulamak Islam

oleh Dr Zakaria @ Mahmod bin Daud, KIAS

Pendahuluan


Akhir-akhir ini isu murtad menjadi satu isu hangat diperkatakan oleh masyarakat Islam di mana-mana sahaja, ia ada disiar dalam akhbar-akhbar, majalah-majalah dan disebut dalam ceramah-ceramah bahkan ada kes-kes tertentu diangkat ke mahkamah. 

Selain itu pengikut-pengikut kumpulan ajaran sesat ada di seluruh Malaysia dan mereka menghayati ajaran itu samada terang-terangan atau secara senyap-senyap seperti pengikut ajaran Ayah Pin, Anti Hadis dan lain-lain. 

Selain itu, mungkin ramai dari umat Islam di Malaysia tidak mengetahui apa sebenarnya murtad sehingga ada yang menganggap murtad hanya terjadi apabila seseorang itu menukar agama, masuk agama Kristian, agama Hindu dan sebagainya.
Manakala yang mengamalkan ajaran-ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin, Hassan Anak Harimau dan lain-lain tidak dianggap murtad. Perkara ini tidak dianggap sensitif, yang dianggap sensitif hanya yang masuk Kristian, Hindu, Budha dan agama-agama lain. Kertas ini penulis akan mengulas mengenai murtad secara lebih luas mengikut pandangan ulama’ Islam.

Definisi Murtad.

Murtad dari segi bahasa bermaksud “Kembali”. Manakala dari segi istilah ia bermaksud meninggal atau keluar dari agama Islam dan memeluk mana-mana agama atau mana-mana aqidah lain atau mana-mana ajaran sesat dan menyeleweng samada dengan melalui perkataan atau melalui perbuatan atau apa-apa iktiqad, kepercayaan dan keyakinan hati.

Murtad atau keluar dari agama Islam merupakan satu jenayah besar dalam Islam; Ia dianggap kufur yang paling jijik dan keji, malah lebih keji dari kufur biasa, kerana orang murtad dianggap menghina Islam, menghina Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. Sebab itu, orang murtad mesti dijatuhkan hukuman bunuh setelah disuruh bertaubat beberpa kali sedangkan dia tetap tidak mahu bertaubat.
Allah berfirman, ertinya :

Dan sesiapa diantara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam) lalu dia mati, sedang dia tetap kafir, maka orang yang demikian rosaklah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).
(surah al-Baqarah : 217)

Rasulullah bersabda, ertinya :

Sesiapa yang menukar agamanya maka hendaklah kamu membunuhnya.
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Perkara-perkara yang Boleh Menjadi Murtad.

Mengikut Islam, murtad boleh terjadi dengan melalui salah satu dari tiga perkara berikut; melalui perkataan, ucapan dan kata-kata, melalui perbuatan atau tingkah laku dan melalui iktiqad, kepercayaan dan keyakinan dalam hati atau niat. Di bawah ini akan dijelaskan sebab-sebab tersebut.

a) Melalui Perkataan / Ucapan dan Kata-kata.

Murtad boleh berlaku dengan perkataan atau ucapan dan kata-kata. Apabila ucapan dan kata-kata tersebut menolak hukum-hukum Islam dan prinsip-prinsip ajaran Islam yang diketahui oleh semua orang atau kata-kata yang menghina apa-apa ajaran Islam, hukum hakam Islam, menghina Nabi Muhammad S.A.W. dan nabi-nabi lain, menghina Allah S.W.T. dan sebagainya, atau seseorang itu mengingkari wajib mengeluarkan zakat, wajib puasa, wajib sembahyang lima waktu, wajib haji dan lain-lain, atau dia berkata minum arak tidak haram, berzina harus, apatah lagi kalau suka sama suka, riba’ diharuskan (tidak haram), dikatakan al-Quran bukan kalam Allah atau kata-kata yang merendahkan dan menghina Sunnah Rasulullah, umpamanya apabila diterang kepadanya bahawa mengerat kuku adalah Sunnah Rasulullah S.A.W. Apabila dia mendengar kata-kata itu, dia menjawab, “aku tidak akan kerat kuku, walaupun ia Sunnah Rasulullah (dengan niat mahu menghina sunnah tersebut)”. Atau dia berkata, “sekiranya Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. menyuruh aku kerjakan anu-anu, aku tidak akan melakukannya”. Atau dia berkata,”Aku tidak tahu adakah nabi itu manusia atau jin”. Atau pun dia berkata,”Aku tidak tahu apa itu iman”. Semua kata-kata di atas adalah ucapan yang menghina / mengejek ajaran Islam, maka dengan kata-kata sedemikian seseorang itu boleh menjadi murtad.

Begitu juga seseorang yang zalim,apabila dia mendengar orang yang dizaliminya berkata,”Ini, (kezaliman yang dilakukan ke atasnya) adalah ketetapan Allah dan takdir Tuhan”, maka orang zalim tadi sebaik sahaja mendengar kata-kata di atas dia terus berkata dengan sombong,”Aku lakukan itu bukan dengan takdir Allah S.W.T. tetapi dengan kuasa yang ada padaku”, maka kata-kata orang zalim sedemikian itu boleh menjadi murtad.

Begitu juga kalau seseorang Islam menghalalkan hukum yang haram oleh Allah dan RasulNya atau sebaliknya mengharamkan sesuatu yang halal yang telah disepakati oleh para ulama’ tetang halal atau haramnya perkara itu seperti dia menghalalkan zina, menghalalkan liwat, menghalalkan minum arak, atau mengharamkan perkahwinan, mengharamkan jual beli dan seterusnya. Maka sikap sedemikian boleh menjadi murtad.

Dalam buku Mustika Hadis, ada menyebut beberapa contoh kata-kata yang boleh membatalkan iman seseorang atau yang boleh menjadi murtad iaitu:
Kata-kata (menghina atau merendahkan) mana-mana hukum Islam seperti :

• Hukum apa ini ?
• Hukum ini sudah lapuk.
• Zaman sekarang tidak sepatutnya diharamkan riba’ kerana menghalang kemajuan.
• Dalam zaman serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus (tutup aurat dengan memakai telekong).
• Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?
• Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya.
• Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya.
• Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam, sampai kiamat kita tidak maju.
• Seseorang berkata,”Perbuatan yang demikian tidak beradab”, apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW selepas makan baginda menjilat sisa makanan dijarinya (sebelum dibasuh tangan).
• Seseorang berkata,”Aku tidak mahu memotong kuku sekalipun sunnah”, apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunnah.
• Membaca ayat-ayat suci al-Quran, hadith nabi dan nama-nama Allah dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.
Ungkapan yang disebut di atas adalah beberapa contoh kata-kata yang boleh menjadi murtad.

b) Melalui Perbuatan atau Tingkah Laku.

Apabila seseorang Islam melakukan apa-apa perbuatan atau apa-apa tingkah laku yang boleh membatalkan imannya maka orang itu boleh menjadi murtad seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan, manusia, kepada malaikat atau kepada mana-mana makhluk lain atau melakukan ibadat terhadap selain daripada Allah S.W.T. Seperti menyembah batu, pokok kayu dan lain-lain
Begitu juga mana-mana perbuatan yang menghina, merendah dan mempersendakan Islam seperti mencampakkan al-Quran ke tempat-tempat kotor secara sengaja atau kitab-kitab hadith dan tafsir atau memijak-mijaknya dengan niat menghina. Dalam buku Mustika Hadith ada menyebut perbuatan yang boleh menjadi murtad seperti meletakkan ayat-ayat suci al-Quran, hadith-hadith nabi, nama-nama Allah, rasul-rasulNya, malaikat dan ilmu-ilmu agama di tempat najis atau kotor dengan tujuan menghina dan merendahkannya.
Begitu juga seseorang yang meninggalkan sembahyang Fardhu atau puasa Ramadhan dalam keadaan mengingkari wajibnya atau mengatakan ia tidak wajib, maka dia boleh menjadi murtad kerana dia mengingkari satu perkara yang memang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam. Tetapi kalau dia meninggalkan kerana malas, sedangkan dia yakin sembahyang atau puasa itu wajib, maka ia tidak menjadi murtad.
Apa yang disebut adalah sebahagian dari contoh-contoh yang boleh memurtadkan seseorang Islam melalui perbuatan dan tingkah laku.

c) Melalui Akidah atau Kepercayaan atau Niat.

Murtad melalui akidah, kepercayaan atau niat akan berlaku apabila seseorang Islam mengingkari dalam hatinya mengenai kebenaran ajaran Islam seperti dia yakin ajaran Islam sama sahaja dengan ajaran agama lain, atau yakin bahawa agama lain lebih baik dari agama Islam, dia yakin hukum hudud (jinayah Islam) tidak layak dilaksanakan sekarang dalam masyarakat moden.
Begitu juga apabila seseorang Islam yakin Allah tidak berkuasa, Allah tidak mencipta alam ini, Allah lemah, mempunyai sifat sama seperti makhluk dan lain-lain lagi. Demikian juga jika seseorang itu percaya bahawa Nabi Muhammad SAW bukan nabi akhir zaman, syariat dan ajaran Islam yang dibawa bukan untuk seluruh manusia, atau dia percaya hukum Islam yang dibawa oleh baginda adalah hukum-hukum lapok, tidak sesuai dengan keadaan zaman. Dia menghina apa-apa ajaran yang dibawanya, dia beriktiqad tidak ada dosa dan pahala, tidak ada syurga dan neraka, manusia tidak dibangkit semula sesudah mati, beriktiqad agama orang kafir lebih baik dari agama Islam, atau berbalik-balik hati antara mahu manjadi kafir pada masa akan datang dan lain-lain lagi keyakinan dan iktiqad yang salah.

Hukum Orang Murtad.

Orang murtad dikenakan ke atasnya beberapa hukum iaitu, pertama; disuruh bertaubat, kedua; dihukum bunuh kalau tidak mahu bertaubat, ketiga; dirampas hartanya (ditarik hak milik harta), keempat; terputus hubungan suami isteri dan tidak boleh pusaka mempusakai antara suami isteri, ayah ibu dan anak-anak, kelima; penyembelihannya tidak halal dan pahala ibadatnya terbatal. Dibawah ini diterangkan hukum-hukum secara ditil.

a) Disuruh Bertaubat.

Apabila seseorang telah sabit murtad, dia perlu diberi nasihat dan kaunseling, juga disuruh bertaubat beberapa kali. Jika tidak mahu bertaubat setelah disuruh berulang kali dia mesti dibunuh. Tempoh masa untuk bertaubat tersebut – mengikut Jumhur ulama’ – selama tiga hari tiga malam, tetapi mengikut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa dia diberi peluang suruh bertaubat selama kira-kira dua puluh malam.
Apabila seseorang murtad itu sedar dan mahu bertaubat serta mahu memeluk Islam semula, taubatnya diterima, dengan melalui beberapa perkara: Pertama, dia perlu mengucap dua kalimah syahadah semula. Kedua, dia perlu membuat pengakuan atau ikrar di atas apa yang dia ingkar yang menyebabkan dia menjadi kafir (murtad), dan melepaskan diri daripada segala ajaran yang menyalahi agama Islam. Umpamanya jika dia murtad dengan sebab percaya adanya dua Tuhan atau mengingkari risalah Nabi Muhammad S.A.W., maka sewaktu bertaubat dengan mengucapkan dua kalimah syahadah, dia perlu membuat pengakuan yang Tuhan hanya satu bukan dua, dan mengaku memang betul dan benar bahawa Nabi Muhammad SAW adalah nabi akhir zaman.

b) Dijatuhkan Hukum Bunuh.

Apabila orang yang murtad tidak mahu bertaubat setelah dinasihatkan dan dikaunseling dalam masa tempoh yang ditentukan, maka tidak ada jalan lain dia mesti dijatuhkan hukum bunuh dengan segera dengan dipancung lehernya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a., baginda bersabda, ertinya:

Sesiapa yang menukar agamanya maka hendaklah kamu membunuhnya.
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis lain diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asyari r.a. yang bermaksud “Bahawa baginda S.A.W. berkata kepadanya, “Pergilah kamu ke negeri Yaman”, kemudian baginda menghantar Muaz bin Jabal selepas itu. Apabila Muaz sampai ke tempat Abu Musa, Abu Musa menjemput Muaz dengan memberi sebiji bantal alas duduk serta berkata, “Sila duduk”, sedangkan di majlis itu ada seorang yang badannya diikat, Muaz bertanya, “Apa hal orang ini?”. Abu Musa menjawab, “Orang ini asalnya Yahudi, dia telah masuk Islam kemudian dia balik menganut agama Yahudi semula”. Muaz berkata, “Aku tidak akan duduk sehingga dia dibunuh (terlebih dahulu), itulah hukum Allah dan RasulNya”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dari hadis di atas jelas bahawa orang yang murtad mesti dibunuh segera apabila dia enggan bertaubat. Hukum bunuh seperti di atas telah pun dijalankan oleh sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W., antaranya Abu Bakar r.a., Umar bin al-Khattab dan Ali bin Abu Talib r.a. sewaktu pemerintahan masing-masing.

Hukum tersebut di atas, tidak sekali-kali bertentangan dengan “dasar kebebasan beragama”, atau dasar “لا إكراه في الدين” (Tidak ada paksaan dalam agama). Sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran, kerana dasar ini tidak ada hubungan sama sekali dengan soal orang murtad.

Soal murtad dan soal kebebasan beragama adalah dua masalah yang berlainan.“Tidak ada paksaan dalam agama” bererti; orang-orang Islam tidak boleh sama sekali memaksa orang kafir memeluk Islam, kerana hakikat iman dan kufur telah dijelaskan dalam al-Quran, dalam hadis dan juga oleh para ulama’ dalam dakwah mereka, maka terserah kepada seseorang itu sama ada mahu beriman dan taat atau pun mahu kekal kufur dan ingkar. Selain itu, kalau dipaksa orang kafir supaya memeluk Islam, maka Islamnya tidak sah.

Ini berlainan halnya dengan orang Islam yang murtad, kerana apabila seseorang itu murtad sama ada melalui iktikad, atau percakapan dan tuturkata atau melalui perbuatannya, ini bererti dia telah melakukan jenayah, bukan sahaja kepada dirinya sendiri, tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan umat Islam seluruhnya. Antara jenayah-jenayah yang dilakukan ialah:
a) Dia memang menganggap dirinya betul dan pandai, umat Islam lain semuanya dianggap salah dan bodoh belaka. Ini bererti dia menghina dan memusuhi masyarakat Islam.
b) Dia menyalahkan agama Islam kerana didorong oleh nafsunya, dia tidak mahu terikat kepada suruhan Allah dan Rasul serta larangan keduanya. Ini bererti dia menghina agama Islam yang menjadi pegangan hidupnya dan dihormati oleh seluruh umat Islam.
c) Dia akan menjadi contoh buruk bagi orang-orang lain yang akan terpengaruh kepada diayahnya. Ini akhirnya akan meruntuhkan ajaran Islam.

Oleh sebab jenayah orang yang murtad sangat besar dan bahaya, maka hukum Islam yang ditetapkan supaya dilaksanakan di dunia dengan dijatuhkan hukum bunuh dan balasan azab seksa di akhirat kelak amatlah adil dan setimpal dengan jenayahnya yang besar itu.

c) Dirampas Hartanya.

Setelah sabit seseorang Islam itu murtad, maka segala harta miliknya perlu dirampas dari miliknya (ditahan hak milik terhadap harta itu) dan diletak dibawah pengawasan Ketua Negara atau wakilnya. Jika harta itu perlu diambil untuk urusan perbelanjaan dirinya sebelum dijatuhkan hukuman bunuh, pihak kerajaan boleh mengambil dari hartanya sekadar perlu sahaja.

Sekiranya dia bertaubat memeluk Islam semula, harta tersebut perlu diserah balik kepadanya. Ini bererti harta tersebut masih dianggap hartanya cuma ditahan hak milik buat sementara. Tetapi sekiranya dia tetap tidak mahu bertaubat, bahkan dijatuhkan hukuman bunuh, maka harta tersebut menjadi milik kerajaan dikira semenjak dia mula-mula murtad lagi.

Harta orang yang murtad tidak boleh dipusakai oleh waris-warisnya dan dia juga tidak boleh menerima harta pusaka dari waris-waris lain kerana diantara syarat untuk membolehkan seseorang menerima harta pusaka ialah waris tersebut sama-sama beragama Islam, sedangkan orang itu telah menjadi kafir.

Rasulullah SAW ada bersabda, ertinya :

Orang Islam tidak boleh mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak boleh mewarisi orang Islam.
(Hadis riwayat al-Bukhari)

d) Terputusnya Hubungan Suami Isteri.

Orang murtad dianggap sebagai orang yang sudah mati, kerana dia akan dijatuhkan hukum bunuh apabila tidak mahu bertaubat. Sebab itu kalau sekiranya salah seorang suami atau isteri murtad maka pernikahan kedua-duanya terbatal walaupun begitu, kalau sekiranya yang murtad kembali bertaubat (masuk Islam semula) dalam masa ‘idah isterinya belum habis (tamat) maka kedua-dua bekas pasangan suami isteri tersebut dikira kembali seperti asal, tidak perlu kepada akad nikah baru. Tetapi kalau dia tidak bertaubat dalam masa ‘idah masih belum habis, nikah tersebut dianggap terbatal. Kalau dia bertaubat (kembali kepada Islam semula) selepas habis ‘idah, dia perlu diakad nikah semula dengan maskahwin baru jika mahu meneruskan hubungan suami isteri yang sah.

Selain itu orang murtad, pernikahannya tidak sah samada dia mahu berkahwin sendiri dengan orang lain atau dia mahu menjadi wali nikah untuk perkahwinan orang lain.

e) Penyembelihannya Tidak Halal dan Segala Pahala Amalan Ibadat Terbatal.

Penyembelihan orang murtad tidak halal dan haram dimakan. Hukumnya sama dengan hukum penyembelihan orang kafir yang menyembah berhala. Kalau dia menganut agama ahli al-Kitab seperti menganut agama Nasrani (Kristian) sekali pun penyembelihannya tetap haram.

Selain itu pahala amalan soleh atau pahala ibadat yang dikerjakan – walau berapa banyak sekali pun – menjadi gugur dan terbatal, menjadi sia-sia, sebagaimana Allah berfirman, ertinya :

Sesiapa yang kufur (ingkar syariat Islam) sesudah dia beriman maka sesungguhnya gugur dan terbatal segala (pahala) amalan baiknya dan dia di akhirat nanti tergolong dari golongan orang yang rugi.
(Surah al-Maidah : ayat 5)

Ini akan berlaku kalau sekiranya dia murtad secara berterusan sehingga mati dalam kufur. Tetapi kalau sekiranya dia bertaubat dan kembali kepada Islam semula, maka dia dituntut supaya mengqada’kan amal-amal ibadat seperti sembahyang, puasa dan zakat yang ditinggalkan sepanjang tempoh murtad tersebut. Ada pun haji yang dikerjakan sebelum murtad tidak perlu diqada’kan.

Mayat Orang Murtad yang Dihukum Bunuh

Mayat orang murtad yang dihukum bunuh tidak boleh diurus seperti mayat-mayat orang Islam. Mayat tersebut tidak perlu dimandi kerana dia telah keluar daripada Islam, tetapi kalau dimandikan ia adalah harus. Juga tidak boleh disembahyangkan kerana sembahyang mayat ke atas orang kafir adalah haram. Sebagaimana Allah berfirman, ertinya :

Jangan kamu sembahyang ke atas seorang pun yang mati dari orang-orang kafir itu selama-lamanya.
(surah al-Taubah : ayat 84)

Demikian juga tidak harus dikebumi di tanah perkuburan orang Islam, bahkan harus dikebumikan di tanah perkuburan orang kafir atau di tempat khas yang berasingan.

Kesimpulan

Dari ulasan-ulasan yang panjang lebar di atas jelaslah bahawa murtad mengikut pandangan Islam merupakan satu jenayah yang paling besar dan paling bahaya kerana ia menghina Islam, menghina Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. Oleh itu hukum bunuh dengan memancung leher adalah satu hukuman yang setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Hukum tersebut juga untuk menakutkan orang lain supaya tidak malakukan jenayah seperti itu.

Selain itu apabila murtadnya seseorang Islam, beberapa hukum lain dikenakan ke atasnya, seperti hartanya perlu dirampas oleh pemerintah, terpisah hubungan suami isteri, tidak boleh mempusakai harta, mayatnya tidak boleh dimandikan, disembahyang dan ditanam di perkuburan Islam dan lain-lain lagi.

Semoga kertas ini dapat memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai murtad mengikut pandangan ulama’ Islam.

 

Salah Faham Terhadap Hudud

apa itu hudud

 

Salah Faham Terhadap Hudud

oleh Zubir
Salah faham yang pertama ialah apabila ada menganggap bahawa persoalan Hudud merupakan persoalan yang hanya dikaitkan secara ekslusif dengan golongan ekstrimis Islam. Padahal Hudud merupakan perkara asas dalam persoalan keimanan dan tauhid kepada Allah SWT.  Hukum Hudud telah dinyatakan secara jelas di dalam Quran dan Sunnah. Setiap muslim wajib menerima kewajiban Hudud untuk dilaksanakan di kalangan masyarakat Islam.

Hujjah yang mengatakan bahawa Hudud tidak lagi sesuai dengan perkembangan zaman moden adalah hujjah yang dangkal. Sekiranya Hudud ketinggalan zaman, maka begitu jugalah halnya dengan semua hukum syariat yang lain seperti hukum solat, puasa, haji, nikah kahwin, dan jual beli. Kesemua hukum-hukum ini juga dinyatakan secara jelas oleh Al-Quran dan Sunnah.

Contohnya, lelaki yang adil bukan hanya perlu sebagai saksi-saksi dalam pengendalian kes-kes jenayah Hudud, tetapi juga sebagai wali nikah dan imam solat. Maka itu, andaian yang mengatakan bahawa amat sukar untuk mendapatkan saksi yang adil untuk menjadi saksi kes Hudud sebenarnya juga seolah-olah mengandaikan bahawa hukum nikah kahwin dan solat berjemaah tidak lagi perlu dipraktikkan oleh umat Islam sekarang.  Tentunya ini merupakan andaian yang liar dan tidak benar.

Sekiranya Hudud mahu dilabelkan sebagai agenda golongan ekstrimis Islam, maka apakah semua orang yang bernikah kahwin mengikut syariat dan bersolat jamaah juga perlu dilabelkan sebagai ekstrimis Islam? Maka, siapa lagi sebenarnya di kalangan umat Islam yang bukan ekstrimis melainkan kesemua muslim yang baik akan digelar ekstrimis Islam belaka.

Salah faham seterusnya ialah apabila kita melihat hukum Hudud dalam bentuknya yang juz’i (stand alone) yang terpisah dari sistem jenayah syariah Islam secara keseluruhan.  Islam adalah sistem yang lengkap dan saling melengkapi (kamil wa mutakamil). Setiap elemen dari ajaran Islam tidak boleh diceraikan dari keseluruhan batang tubuh Islam itu sendiri, dan begitu jugalah halnya dengan hukum Hudud. Hukum Hudud dalam bentuknya yang juz’i (stand alone) tidak akan mampu melahirkan keadilan, dan keadaan ini telah dipergunakan sepenuhnya oleh golongan penentang Hudud untuk menggambarkan bahawa Hudud adalah zalim. Mereka menilai Hudud dalam bentuknya yang terpisah dari keseluruhan sistem kehakiman dan perundangan Islam, dan sememangnya Hudud yang diambil secara juz’i ini boleh disifatkan sebagai tidak adil atau zalim.

Contoh yang selalu dikemukakan adalah persoalan rogol. Dalam hukum Hudud, jenayah rogol adalah disamakan dengan jenayah zina. Tahap kesaksian dan hukumannya juga sama. Dalam Hudud juga, menuduh seseorang yang dikenali sebagai orang baik melakukan zina tanpa mendatangkan saksi yang berwibawa merupakan suatu kesalahan Qazaf yang boleh membawa hukuman sebanyak 80 rotan. Lalu diambil peruntukan-peruntukan hudud ini secara terpisah oleh penentang Hudud untuk menggambar betapa mangsa rogol akan dizalimi.Mereka mengandaikan bahawa seorang mangsa rogol perlu mendatang 4 orang saksi lelaki yang adil untuk membuat pengaduan atau menghadapi risiko kesalahan Qazaf. Ini, menurut andaian mereka, adalah menzalimi mangsa rogol dan melindungi perogol. Padahal, undang-undang yang melibatkan kes rogol perlu dirujuk kepada keseluruhan peruntukan undang-undang jenayah syariah secara lengkap (Hudud, Qisas, Takzir, Undang-undang keterangan, siasah syari’ah) dan tidak boleh dinilai dari perspektif hukum Hudud secara terhad dan terpisah.

Seseorang yang mengadu dirinya dirogol, sepertimana kes-kes biasa, perlu membuat lapuran polis dan melakukan pemeriksaan doktor. Ini prosedur biasa. Polis atau pegawai penyiasat akan melakukan penyiasatan berdasarkan lapuran dan keterangan yang diberikan. Sekiranya terdapat bukti yang kukuh bahawa kes rogol sememangnya telah berlaku, pegawai penyiasat akan menyerahkan lapuran kepada pihak pendakwa.

Sekiranya tahap kesaksian untuk pendakwaan dilakukan dalam hukum Hudud tidak mencukupi (tiada 4 orang saksi yang melihat kejadian tersebut), pihak pendakwa masih boleh mendakwanya di bawah undang-undang Takzir. Melalui peruntukan Takzir, beban pembuktian adalah lebih longgar dan hukumannya juga lebih ringan berbanding Hudud. Pemeriksaan doktor dan keterangan-keterangan serta bukti-bukti yang dikumpulkan oleh polis ini (DNA test, lapuran kesihatan, penilaian psychology, dll) dinamakan sebagai Qarinah. Qarinah boleh digunakan sebagai bahan bukti yang boleh mensabitkan kesalahan takzir ke atas perogol. Qarinah ini juga boleh mengelakkan mangsa rogol dari dakwaan Qazaf, kerana Qazaf merupakan kesalahan Hudud dan sebarang keraguan yang boleh ditimbulkan (melalui Qarinah) dalam kes Hudud boleh menggugurkan kes tersebut. Hukuman Hudud boleh dilakukan ke atas seseorang hanya apabila tiada sebarang keraguan langsung (beyond any shadow of doubt).  Manakala untuk kesalahan yang boleh dibuktikan secara jelas oleh Qarinah, tetapi tidak mencapai tahap kesaksian yang diperlukan oleh Hudud, hukum Takzir boleh dikenakan terhadap penjenayah tersebut.

Mengaitkan Qazaf dengan kes rogol secara mutlak adalah suatu andaian yang liar dan tidak adil. Hukum Qazaf berfungsi untuk melindungi maruah seseorang individu yang baik dari sebarang tuduhan melulu yang boleh menjatuhkan maruah diri dan keluarganya. Sekiranya, seseorang itu menuduh dirinya dirogol oleh seseorang, sedangkan bukti dan keterangan (Qarinah) yang dibawa menunjukkan sebaliknya, barulah ia boleh didakwa di bawah Qazaf. Contohnya, Minah menuduh Ali merogolnya sehingga mengandung, tetapi ujian DNA menunjukkan bahawa anak tersebut bukanlah dari benih Ali, maka Minah akan menghadapi risiko dakwaan Qazaf melainkan ada 4 orang saksi yang berwibawa yang melihat kejadian rogol tersebut, ataupun dapat dibuktikan secara Qarinah bahawa dia dirogol oleh ramai orang dan Ali adalah salah seorang daripada mereka. Tetapi, sekiranya ujian DNA mengesahkan bahawa anak tersebut memang jelas dari benih Ali, maka Ali boleh didakwa di bawah peruntukan Takzir, manakala Minah tidak akan dihukum di bawah Qazaf.  Dalam kes ini, Ali tidak didakwa di bawah Hudud kerana tahap kesaksian tidak menepati kehendak hukum Hudud, sebaliknya beliau akan dihukum di bawah undang-undang Takzir.

Dalam kata lain, sekiranya perkara ini dirujuk kepada keseluruhan rang undang-undang Hudud, Qisas, Takzir, Undang-Undang Keterangan, dan ditambah dengan kefahaman terhadap konsep Siasah Syariah, maka segala keraguan dan andaian liar terhadap Hudud atau mana-mana peruntukan dalam hukum Jenayah Syariah tidak sepatutnya berlaku.

Ibarat kata Tun Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim Negara, yang juga salah seorang ahli panel Jawatankuasa Penyediaan Rang Undang-Undang Hudud dan Qisas, ” Sekiranya undang-undang ini dilaksanakan dengan mendapatkan kerjasama semua pihak, kebanyakan masalah yang melibatkan sistem Perundangan dan Kehakiman negara dapat diselesaikan, di samping mencapai matlamat mengurangkan kadar jenayah dan kerosakan akhlak.”

Kesilapan melihat peruntukan hukum jenayah syariah dalam bentuknya yang stand alone (juz’i) ini juga berlaku kepada pengkritik hukum Qisas. Mengikut peruntukan hukum Qisas, seorang pembunuh itu wajib dibalas bunuh melainkan beliau mendapat persetujuan dari waris mangsa untuk membayar diyat (gantirugi), ataupun pengampunan terus dari waris mangsa. Andaian yang sering dibuat oleh penentang Qisas ialah bahawa seorang pembunuh yang kejam dan merbahaya akan terlepas dari hukuman sekiranya waris mangsa bersetuju mendapat bayaran ganti rugi atau mengampunkan pembunuh tersebut. Sekiranya ini berlaku, pembunuh itu boleh terus membunuh mangsa-mangsa yang lain.

Sekiranya kita membaca peruntukan tersebut secara lengkap dan bersama dengan peruntukan-peruntukan yang lain, sebenarnya Hakim masih boleh menjatuhkan hukuman Takzir ke atas pembunuh itu, di samping hukum Qisas sekiranya pihak Mahkamah bersetuju bahawa pembunuh tersebut perlu dihukum bagi menjamin ketenteraman awam. Dalam kata lain, walaupun pembunuh tersebut mendapat pengampunan dari waris mangsa dari dijatuhkan hukuman bunuh balas (Qisas), beliau masih boleh dihukum penjara atau hukuman-hukuman lain yang setimpal dengan kesalahannya. Jadi, tidak timbul persoalan samada seseorang penjenayah itu dengan mudah boleh melepaskan diri dengan memberi rasuah kepada waris mangsa.

Seperkara lagi yang sering diabaikan dalam perbahasan berkenaan Hudud ialah peri pentingnya kefahaman terhadap Siasah Syar’iah di dalam perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah.  Kebanyakan mereka yang menentang Undang-Undang Hudud dan Qisas adalah terdiri dari kalangan mereka yang mempunyai kefahaman yang sangat terhad terhadap Siasah Syari’ah. Siasah Syar’iah amat penting bagi menghadapi kes-kes yang rumit dan spesifik.  Para Hakim dan Peguam Syari’ah adalah mereka yang terlatih di dalam ilmu Siasah Syari’ah. Ini penting agar keadilan sistem perundangan Islam dapat dilaksanakan.

Umpamanya penentang Hudud mempersoalkan tentang keperluan saksi lelaki di dalam kes-kes Hudud, dan bagaimana sekiranya kejadian rogol dilakukan di asrama wanita. Kes seperti ini boleh dirujuk kembali kepada perbicaraan terhadap pembunuhan Osman bin Affan, salah seorang Khalifah Islam. Saksi kepada pembunuhan tersebut ialah isteri Osman sendiri, dan tiada saksi lelaki. Hakim, menggunakan kaedah Siasah Syari’ah bagi membenarkan kesaksian dari kaum wanita kerana kes-kes tersebut memerlukan kesaksian mereka. Oleh kerana kesaksian beliau cukup kukuh dan tidak dapat dicabar di mahkamah, maka kesaksian tersebut diterima di dalam perbicaraan itu.

Begitulah juga dengan peristiwa yang berlaku di zaman pemerintahan Islam di mana terdapat seorang gadis yang mengandung lalu dibawa ke muka pengadilan. Gadis itu mempertahankan dirinya menyatakan bahawa beliau tidak tahu sesiapa yang merogolnya, tetapi menyebut bahawa beliau adalah seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar jika diperlakukan sesuatu yang tidak baik ke atasnya.  Memandangkan kes ini jarang berlaku, hakim telah membenarkan tertuduh mengemukakan beberapa saksi yang boleh mengesahkan dakwaannya bahawa beliau adalah seorang yang terlalu kuat tidur.  Setelah hakim berpuas hati dengan kesaksian bahawa gadis tersebut memang dikenali sebagai seorang wanita yang taat beragama serta berakhlak baik, dan kesaksian bahawa beliau memang seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar diperlakukan sesuatu ke atasnya ketika sedang tidur, maka hakim telah menggugurkan kes tersebut kerana terdapat keraguan yang munasabah bahawa gadis tersebut telah berzina secara sukarela.

Bagi mereka yang memahami persoalan Siasah Syar’iah secara mendalam, Hukum Hudud merupakan suatu sistem perundangan yang adil dan dinamik yang mampu menangani persoalan semasa selari dengan kemajuan saintifik dan perkembangan sosio-ekonomi masyarakat.  Sebenarnya, terlalu banyak kes-kes penghakiman di dalam sistem perundangan Islam yang mempu membuktikan bahawa sistem ini merupakan sistem yang adil dan dinamik, di samping menepati kehendak syara’ seperti yang telah digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah.

Umpamanya, kes rogol mungkin tidak berlaku paksaan secara fizikal semata-mata. Ia juga boleh berlaku melalui tipu muslihat lain seperti kaedah tekanan mental, perasaan, dan lain-lain. Seorang mangsa rogol umpamanya mungkin terpaksa menyerahkan dirinya kepada seseorang yang dianggap lebih berkuasa dan berpengaruh serta boleh menjejaskan kehidupan keluarganya dalam pelbagai sudut. Pembuktian kes-kes seperti tentunya lebih rumit dan memerlukan pendekatan Siasah Syari’ah yang lebih mendalam. Bagaimanapun, tentulah dangkal dan tidak benar untuk mengatakan bahawa  hukum Islam telah ketinggalan zaman sedangkan ianya telah terbukti mampu menjadi tunggak kehakiman ummah selama lebih seribu tahun sejak terdirinya kerajaan Islam di Madinah sehinggalah kepada kejatuhan Khalifah Othmaniah pada tahun 1924.

Apa yang menjadi masalah ialah ramai umat Islam hari ini yang sudah terpisah dengan pengamalan syariat Islam sehingga merasa cukup asing dan melihat hukum syariah dengan penuh prejudis dan kecurigaan, sedangkan mereka tidak mempunyai kefahaman yang mendalam berkenaan ilmu tersebut. Apatah lagi apabila masyarakat bukan Islam yang juga cuba menilai hukum ini dengan keilmuan sifar, secara tidak beradab mencela dan menghina hukum Islam. Wallahua’lam.

Sumber: http://pekanrabu.com.my/zubir/hudud.html

ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (HUDUD DAN QISAS) TERENGGANU 1423H/2002M

 

TERENGGANU
ENAKMEN 4 TAHUN 2002
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (HUDUD DAN QISAS) TERENGGANU 1423H/2002M

Tarikh Persetujuan DiRaja :2 September 2002

Tarikh disiarkan dalam Warta :25 September 2003

Tarikh mula berkuatkuasa :27 Oktober 2003 [Tr. P.U. 10/2003]

SUSUNAN SEKSYEN
_____________

Mukadimah

BAHAGIAN I

Seksyen 1. Tajuk Ringkas dan Permulaan Kuat kuasa.
Seksyen 2. Tafsiran.
Seksyen 3. Jenis-Jenis Kesalahan.
Seksyen 4. Kesalahan-kesalahan Hudud.

BAHAGIAN II – SYURB

Seksyen 5. Syurb.
Seksyen 6. Bilakah Hukuman Hudud Kerana Kesalahan Syurb Tidak Boleh Dikenakan.

BAHAGIAN III – QAZAF

Seksyen 7. Qazaf.
Seksyen 8. Hukuman qazaf.
Seksyen 9. Kesalahan Yang Dikira Kesalahan Qazaf.
Seksyen 10. Al-li’an.
Seksyen 11. Akibat Al-li’an.

BAHAGIAN IV – ZINA

Seksyen 12. Zina.
Seksyen 13. Hukuman Zina.
Seksyen 14. Liwat.
Seksyen 15. Hukuman liwat.
Seksyen 16. Membuktikan liwat.
Seksyen 17. Bilakah Hukuman Hudud Zina tidak boleh dikenakan.
Seksyen 18. Zina Mahram.

BAHAGIAN V – SARIQAH

Seksyen 19. Sariqah.
Seksyen 20. Hukuman Kerana Melakukan Sariqah.
Seksyen 21. Bilakah Hukuman Hudud Sariqah Tidak Boleh Dikenakan.

BAHAGIAN VI – HIRABAH

Seksyen 22. Hirabah.
Seksyen 23. Hukuman hirabah.
Seksyen 24. Bilakan Hukuman Hudud Hirabah Boleh atau Tidak Boleh Dikenakan.

BAHAGIAN VII – IRTIDAD ATAU RIDDAH

Seksyen 25. Irtidad atau Riddah.
Seksyen 26. Hukuman Bagi Kesalahan Irtidad atau Riddah.

BAHAGIAN VIII – QISAS

Seksyen 27. Qisas.
Seksyen 28. Jenis Kesalahan Menyebabkan Kematian.
Seksyen 29. Qatlul-al-‘amd
Seksyen 30. Hukuman Bagi Kesalahan Qatlul-al-‘amd
Seksyen 31. Pengampunan.
Seksyen 32. Ganti Kepada Hukuman Qisas.
Seksyen 33. Qatlul-syibhu-al-‘amd.
Seksyen 34. Hukuman Qatlul-syibhu-al-‘amd.
Seksyen 35. Qatlul-al-khata’
Seksyen 36. Hukuman Qatlul-al-khata’
Seksyen 37. Menyebabkan Kecederaan Badan.
Seksyen 38. Hukuman Kerana Menyebabkan Kecederaan badan.
Seksyen 39. Jenis-Jenis Kecederaan Badan.
Seksyen 40. Bilakah Hukuman Qisas Tidak Boleh Dikenakan.
Seksyen 41. Akibat Apabila Hukuman Qisas Tidak Dikenakan.

BAHAGIAN IX – KETERANGAN

Seksyen 42. Bagaimana Membuktikan Kesalahan.
Seksyen 43. Bilangan Saksi.
Seksyen 44. Syarat-Syarat Kelayakan Menjadi Saksi.
Seksyen 45. Kualiti Keterangan.
Seksyen 46. Menarik Balik Keterangan.
Seksyen 47. Iqrar.
Seksyen 48. Menarik Balik Iqrar.
Seksyen 49. Keterangan Qarinah.
Seksyen 50. Takzir Sebagai Ganti Hukuman Hudud Apabila Keterangan Tidak Memenuhi Syarat-Syarat untuk Membuktikan Kesalahan Hudud.

BAHAGIAN X – BAGAIMANA HUKUMAN DIJALANKAN

Seksyen 51. Hukuman Hudud Tidak Boleh Diubah.
Seksyen 52. Pengesahan Hukuman Sebelum Pelaksanaan.
Seksyen 53. Pemeriksaan Pegawai Perubatan Sebelum Dilaksanakan Hukuman.
Seksyen 54. Cara Hendak Melaksanakan Hukuman Bagi Kesalahan Berbilang.
Seksyen 55. Cara Memotong Tangan Dan Kaki.
Seksyen 56. Cara Melaksanakan Hukuman Sebat.
Seksyen 57. Hukuman Rejam Ditangguhkan Bagi Perempuan Yang Hamil dan Yang Menyusukan Anak.
Seksyen 58. Hukuman Sebat ke atas Perempuan Hamil.

BAHAGIAN XI – PERUNTUKAN UMUM

Seksyen 59. Pemakaian Enakmen Ini.
Seksyen 60. Persubahatan Atau Komplot.
Seksyen 61. Niat Bersama.
Seksyen 62. Sariqah Berkumpulan.
Seksyen 63. Mencuba Melakukan Kesalahan.
Seksyen 64. Prosiding di Bawah Kanun Keseksaan Tidak Boleh Diambil.
Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran.
Seksyen 65A. Kuasa Am Untuk Membuat Kaedah dan Peraturan.

BAHAGIAN XII – MAHKAMAH

Seksyen 66. Mahkamah Bicara Syariah Khas.
Seksyen 67. Mahkamah Rayuan Syariah Khas.

JADUAL I
JADUAL II
JADUAL III
JADUAL IV
JADUAL V

 

Cara sebat dalam Islam vs Cara Sivil, yang mana pilihan anda?

sebat 1sebat 2

Kaedah hukum sebat mengikut syarak oleh Setiausaha Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM).

SEBAT adalah satu bentuk hukuman dalam perundangan Islam yang bertujuan memberi pengajaran kepada penerima hukuman dan orang yang melihatnya. Hukuman sebat juga berupaya menghindar dan membersihkan masyarakat daripada perbuatan dan tabiat keji dan hina.

Merujuk kepada rencana bertajuk “Kaedah hukuman sebat di Mahkamah Syariah” oleh Datuk Muhammad Asri Abdullah di dalam Jurnal Hukum JLD. XXII BHG. 1 ( 1427 H) September 2006), pelaksanaan hukuman sebat di Malaysia diperuntukkan dalam semua enakmen undang-undang tatacara jenayah syariah bagi kebanyakan negeri.

Peruntukan-peruntukan tersebut antaranya ialah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 125; Enakmen Acara Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996, Seksyen 125 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, Seksyen 125.

Selain itu, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Kelantan) 2002, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah (Negeri Pahang) 2002, Seksyen 125 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Perak) 2004, Seksyen 125.

Di bawah Seksyen 125 dan 126 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), diperuntukkan kaedah dan masa pelaksanaan hukuman sebat seperti berikut:

Seksyen 125 – Hukuman sebat

1. Peruntukan seksyen ini dan seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.

2. Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

3. Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat iaitu:

a) Sebelum dilaksanakan, pesalah mesti diperiksa oleh seorang pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman itu.

b) Jika pesalah sedang hamil, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas melahirkan atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan.

c) Hukuman hendaklah dilaksanakan di depan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan.

d) Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman hendaklah “adil dan matang”.

e) Orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

f) Selepas satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.

g) Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.

h) Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.

i) Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dibuat dalam keadaan dia berdiri dan bagi perempuan, dalam keadaan duduk.

j) Jika semasa pelaksanaan hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, ia hendaklah ditangguhkan sehingga diperakui semula tubuhnya sihat.

4. Dalam hal pesalah dihukum sebat sahaja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman itu dilaksanakan.

5. Jika pegawai perubatan memperakui bahawa pesalah itu – oleh sebab umur tua (lebih 50 tahun), keuzuran atau apa-apa sebab lain – tidak dapat menjalani hukuman pada keseluruhannya atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujuk kepada mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman itu dilaksana mengikut cara yang difikirkan munasabah.

Seksyen 126 – Masa melaksana hukuman

Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada penjara, hukuman sebat itu tidak boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

Sebatan itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan.

Kaedah pelaksanaan yang diperuntukkan sebenarnya tidak bertentangan dengan hukum syarak yang turut memberi panduan cara pelaksanaannya.

Jika menggunakan rotan atau ranting kayu, ia hendaklah dalam bentuk sederhana ukurannya. Tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua, tidak berbuku-buku atau pecah-pecah atau seumpamanya.

Ia amat penting supaya ia tidak boleh mencedera atau menyebabkan luka parah ke atas pesalah.

Ini kerana hukuman tersebut bukan bertujuan mencederakan pesalah tetapi mencegah dan melarang serta memberi pengajaran kepadanya. Ia selaras dengan hadis riwayat Malik dari Zaid bin Aslam. “Seorang lelaki mengaku berzina di zaman Rasulullah SAW. Baginda meminta sebatang tongkat untuk menyebat lelaki itu. Apabila tongkat diberi kepadanya, Baginda mendapati ia telah pecah-pecah, lalu Baginda meminta tongkat lain.

Apabila yang kedua dibawa kepadanya, tongkat itu dibuat daripada dahan kayu yang baru dipotong. Rasulullah menolaknya lagi dan meminta tongkat lain. Akhirnya diberi kepada Baginda tongkat sederhana yang tidak keras, Rasulullah menerimanya dan memerintahkan supaya disebat tongkat itu.

Ketika melaksanakan hukuman sebat, cara sebatan hendaklah secara sederhana. Si pelaksana tidak boleh mengangkat tangan hingga ke paras kepalanya atau dengan lain perkataan, tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga sampai kepada matlamat dan tujuannya.

Saidina Umar al-Khattab r.a pernah menghukum sebat seorang pesalah di zamannya. Beliau berkata kepada tukang sebat: “Sebatlah dia dan jangan diangkat tanganmu sehingga ternampak ketiak.”

Ketika Umar melihat pukulan agak kuat daripada sepatutnya, beliau berkata: “Kamu tidak menghukum tetapi membunuhnya.”

Mengenai bahagian yang disebat, Imam Syafie berpendapat, pukulan hendaklah ditujukan kepada pelbagai anggota tetapi hendaklah menjauhi faraj, rusuk dan semua anggota yang ditakuti membahayakan orang yang disebat.

Ia berdasarkan riwayat Umar al-Khattab bahawa beliau menemui seorang jariah yang sedang dilakukan hadd ke atasnya, lalu beliau berkata maksudnya: “Kamu pergilah kepadanya, pukullah dan janganlah sampai mengoyakkan kulitnya.”

Ini kerana maksud daripada hukuman sebat itu adalah mencegah tanpa bertujuan membunuh pesalah.

Ketika disebab, pesalah mesti memakai pakaian menutup aurat. Jika memakai pakaian tebal, hendaklah diganti dengan yang sederhana kerana dibimbangi pukulan tidak dirasai oleh pesalah. Ini berdasarkan riwayat ‘Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Rasulullah bersabda: “Tidak ada pada umat ini, perebahan, pembogelan, pembelengguan dan pengikatan.”

Bagi pesalah hamil, hukuman mesti dilakukan dua bulan selepas melahirkan. Jika dia masih sakit, pelaksanaan mesti ditangguhkan sehingga betul-betul sihat.

Jika penyakitnya tiada harapan sembuh, hukuman hendaklah dijalankan serta-merta dengan syarat, rotan tidak akan mencederakannya.

Diriwayatkan Rasulullah pernah menyuruh supaya dijalankan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang sedang tenat dengan hanya satu pukulan menggunakan seratus mayang tamar yang diikat. Lelaki itu telah berzina dan sepatutnya disebat 100 kali.

Hukuman sebat juga hendaklah dilaksanakan pada masa dan keadaan yang sesuai iaitu tidak dalam cuaca yang sangat panas atau sejuk kerana boleh membawa kemudaratan.

Pelaksanaannya pula hendaklah di depan sekumpulan orang mukmin. Seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 2: “Dan hendaklah pelaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”

Sementara itu, kertas kerja bertajuk “Peranan institusi penjara dalam pelaksanaan hukuman sebat bagi kes jenayah syariah: satu pandangan” oleh Masran Muhamad pula membezakan hukuman sebat antara pesalah jenayah dan syariah.

1. Saiz Rotan

Bagi pesalah jenayah panjang rotan tidak dinyatakan tetapi bergaris pusat 1.25 sentimeter. Sementara pesalah jenayah syariah pula ialah panjang 1.22 meter dan bergaris pusat 1.25 sentimeter.

2. Pemeriksaan Kesihatan

Bagi pesalah jenayah, pemeriksaan kesihatan dilakukan oleh mana-mana pegawai perubatan, manakala jenayah syariah oleh pegawai perubatan beragama Islam.

3. Pelaksanaan Hukuman

Bagi pesalah jenayah, sebat dilaksanakan oleh mana-mana pegawai sebat rotan yang dilantik oleh Komisioner Jeneral Penjara, manakala jenayah syariah hanya dilakukan oleh Pegawai Sebat Rotan beragama Islam.

4. Bahagian Anggota yang Disebat

Bagi pesalah jenayah, pukulan sebat hendaklah di bahagian punggung dan ia berbeza dengan jenayah syariah yang meletakkan beberapa pengecualian.

5. Cara Sebatan

Bagi jenayah syariah, tukang sebat tidak boleh mengangkat rotan sehingga ke paras kepala dan pukulan secara sederhana agar tidak melukakan kulit.

6. Kedudukan dan pakaian semasa disebat

Bagi pesalah jenayah, mereka tidak memakai pakaian dan hanya ditutup di bahagian sulit sahaja dan diikat di tripod manakala pesalah syariah lelaki disebat dalam keadaan berdiri dan perempuan duduk dan memakai pakaian menutup aurat.

7. Baki hukuman sebat yang dihentikan

Bagi pesalah jenayah, jika sebahagian atau keseluruhan hukuman sebat tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab kesihatan, maka ia akan dirujuk kepada mahkamah manakala jenayah syariah ia boleh ditangguhkan sehingga pegawai perubatan memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.

8. Orang yang boleh disebat

Bagi pesalah jenayah, perempuan tidak boleh disebat tetapi pesalah jenayah syariah, perempuan tidak dikecualikan.

9. Saksi-saksi

Bagi pesalah jenayah, tiada saksi diperlukan semasa hukuman dilaksanakan tetapi pesalah syariah mesti bersaksikan sekurang-kurangnya empat lelaki Islam.

Maka, hukuman sebat adalah sebagai satu bentuk hukuman dalam Islam yang bertujuan menjaga kebaikan dan kepentingan umum. Islam sentiasa memandang dan mementingkan kebaikan orang ramai lebih utama daripada individu kerana ia boleh menghindari kerosakan, keruntuhan moral dan memberi rasa keinsafan kepada pesalah.

Pelaksanaannya bukanlah bertujuan menzalimi pesalah sebaliknya memberi rasa keinsafan dan pengajaran.

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/agama/4498-kaedah-hukuman-sebat-ikut-syarak.html

Minum arak adalah satu kesalahan jenayah dalam Islam, boleh hudud sebat?

mabuk arak

PENGERTIAN ARAK

Arak ialah minuman yang memabukkan. Dalam bahasa Arab dinamakan khamar, berasal dari kata khamara ertinya menutupi. Seseorang yang minum arak atau khamar, biasanya ia mabuk, hilang akal fikirannya tertutup jalan kebenaran, dan ia lupakan dirinya dan lupakan Allah.

Minum arak hukumnya adalah haram, sama ada sedikit atau banyak, hukum mabuk atau pun tidak, kecuali ketika darurat, dan arak itu adalah najis ainnya. Firman Allah yang bermaksud :

”Wahai orang-orang yang beriman bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (najis / keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.

(Surah Al- Maidah ayat 90)

HUKUM ORANG YANG MINUM ARAK

Dalam Qanun jenayah syar’iyyah, seseorang yang telah sabit kesalahan minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atai tidak, wajib dikenakan hukuman sebat tidak lebih dari 80 kali sebat dan tidak tidak kurang dari 40 kali sebat. Hukuman ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib r.a yang bermaksud:

”Rasulullah s.a.w telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat, dan Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak 40 kali sebat juga, dan Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebat. Semuanya adalah sunnah Rasulaullah s.a.w. dan inilah yang paling akau suka”. KESABITAN KESALAHAN MINUM ARAK(KHAMAR)

Untuk mensabitkan kesalahan seseorang minum arak (khamar) adalah tertakluk dibawah tiga sebab:

i) Minuman yang diminum itu ialah khamar, iaitu minuman yang memabukkan dan yang menghilangkan akal fikiran manusia ii) Orang yang meminum minuman itu mengetahui bahawa minuman yang diminum tadi memabukkan dan menutup akal fikiran. iii) Sengaja melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan.

Seseorang yang meminum minuman yang boleh memabukkan, dan ia tidak tahu bahawa dengan meminum minuman itu ia akan menjadi mabuk tidak boleh dikenakan hukuman had keatas orang yang meminum minuman itu, sekalipun dengan sebab meminum tadi ia menjadi mabuk.

PEMINUM ARAK YANG BOLEH DIKENAKAN HUKUM HADD

Orang yang melakukan kesalahan minum arak (khamar) yang wajib dikenakan hukuman hadd adalah tertakluk dibawah syarat-syarat berikut:

i) Baligh ii) Berakal iii) Kemahuan sendiri tanpa dipaksa oleh sesiapa iv) Minuman itu masuk kedalam rongga melalui mulut

Kanak – kanak yang belum baligh atau orang yang gila yang minum arak (khamar) tidak boleh dikenakan hukuman hadd ke atas mereka, kerana perbuatan mereka itu tidak boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah syar’iyyah yang boleh dikenakan hukuman hadd. Ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-

”Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia, iaitu kanak-kanak sehingga ia baligh, orang yang tidur sehingga ia bangun dari tidurnya, dan orang yang gila sehingga ia sembuh dari gila’.

(Riwayat Bukhari dalam Sahih)

BUKTI-BUKTI YANG MENSABITKAN KESALAHAN MINUM ARAK (KHAMAR)

Bukti – bukti yang mensabitkan kesalahan seseorang itu minum arak (khamar) yang boleh dikenakan hukuman hadd adalah sebagaimana berikut:-

1) Syahadah (kesaksian) 2) Ikrar (pengakuan)

Kesalahan minum arak (khamar) boleh dibuktikan dengan keterangan lisan yang diberi oleh dua orang saksi atau dengan ikrar (pengakuan) yang dibuat oleh oarang yang dituduh itu dengan kerelaan dirinya sendiri tanpa paksaan dari mana-mana pihak.

Saksi-saksi dari pihak pendakwa atau penuduh mestilah terdiri dari dua orang lelaki yang mempunyai syarat-syarat yang cukup. Jika saksi-saksi itu semuanya terdiri dari orang-orang perempuan atau seorang lelaki berserta dengan beberapa orang perempuan, maka kesaksian mereka itu tidak boleh diterima dan tidak boleh disabitkan kesalahan orang yang dituduh tadi, kerana kesaksian mereka itu boleh mendatangkan keraguan.

Mana lebih kejam: perogol atau hukum hudud?

rogol

PEREMPUAN YANG DI ROGOL DAN DI PERKOSA

Perempuan-perempuan yang dirogol atau diperkosa oleh lelaki yang melakukan perzinaan dan telah disabit dengan bukti –bukti yang diperlukan oleh syarak dan tidak menimbulkan sebarang keraguan dipihak hakim bahawa perempuan itu dirogol dan diperkosa, maka dalam kes ini perempuan itu tidak boleh dijatuhkan dan dikenakan hukuman hudud,dan ia tidak berdosa dengan sebab perzinaan itu.

Lelaki yang merogol atau memperkosa perempuan melakukan perzinaan dan telah sabit kesalahannya dengan bukti – bukti dan keterangan yang dikehendaki oleh syarak tanpa sebarang keraguan dipihak hakim, maka hakim hendaklah menjatuhkan hukuman hudud keatas lelaki yang merogol perempuan itu, iaitu wajib dijatuhkan dan dikenakan ke atas lelaki itu hukuman rejam dan sebat

Perempuan-perempuan yang telah disabitkan oleh hakim bahawa ia adalah dirogol dan diperkosa oleh lelaki melakukan perzinaan, maka hakim hendaklah membebaskan perempuan itu dari hukuman hudud (tidak boleh direjam dan disebat) dan Allah mengampunkan dosa perempuan itu di atas perzinaan secara paksa itu.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Melaka